PTD: Langkah Memupuk Semangat Patriotik

by - September 06, 2019

Pendahuluan:

Definisi patriotik: bersifat (berperasaan, bersemangat) sbg patriot.

Definisi patriotisme: perasaan cinta yg kuat terhadap tanah air.

Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik. Isu yang mencetuskan polemik (perbahasan/perdebatan) dalam kalangan media massa saban hari ini pantas meniti dari bibir ke bibir. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan (kerosakan/keburukan) sosial dan budaya yang hedonistik (mementingkan keseronokan) yang begitu cepat merebak umpama virus epidemik.

Maka, prakarsa (ikhtihar) yang drastik perlu diambil demi memastikan api semangat patriotik dalam kalangan remaja tidak terpadam dan lenyap begitu sahaja sebelum nasi menjadi bubur.

Isi kandungan:

Antara langkah dominan bagi menyuburkan semangat patriotik adalah dengan melawat tempat bersejarah. Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan mengajak anak-anak ke tempat bersejarah. Contoh tempat bersejarah yang boleh dilawati ialah Kota A Famosa di Melaka. Ibu bapa juga boleh bercerita kepada anak-anak tentang kisah bagaimana tokoh zaman dahulu membangunkan negara.

Remaja kurang semangat patriotik kerana tidak merasai kesusahan hidup semasa zaman penjajahan. Contohnya, orang yang hidup zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu pasti teringat semasa mereka menghadapi kesusahan untuk mendapat bekalan makanan dan pakaian.

Ibu bapa juga boleh membelikan anak-anak buku, cakera padat dan sumber-sumber ilmiah yang mengandungi isu-isu berkaitan patriotisme. Perkara ini sesuai dilakukan sejak anak-anak masih kecil kerana "melentur buluh biarlah dari rebungnya". 

Guru dan pihak sekolah perlu turut serta dalam menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan remaja. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah menerapkan elemen patriotisme melalui pelbagai subjek mata pelajaran seperti Sejarah, Bahasa Melayu, Georgrafi dan Sivik.

Tambahan itu, pada bulan kemerdekaan, guru boleh mengajak pelajar menyertai sambutan hari kemerdekaan. Antara acara yang boleh dilakukan ialah nyanyian lagu patriotik, tayangan filem berkaitan semangat patriotik, pidato dan sebagainya.

Sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Disamping itu, stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kemerdekaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan. Tanpanya, negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi hakikatnya kosong dan rapuh. Usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulahlah dilakukan sepanjang masa tanpa henti.


You May Also Like

0 comments